Zalif Sidek terkilan dakwaan mengamuk di lapangan terbang

Zalif Sidek terkilan dakwaan mengamuk di lapangan terbang

Pelakon dan pelawak Zalif Sidek, 31, mengakui terkilan dengan gosip kononnya baru-baru ini dia mengamuk di sebuah lapangan terbang dalam negeri.

Zalif turut menyifatkan perkara itu sebagai tuduhan melampau dan merasakan seakan-akan penulis berkenaan mempunyai isu peribadi terhadapnya kerana turut mengaitkan saiz tubuh serta kisah silamnya.



Apa yang lebih mengecewakan katanya, apabila penulis tersebut bukan hanya menuduhnya 'buat perangai' malah wartawan itu juga melabel dirinya sebagai artis 'sendu' tanpa mengetahui perkembangan terbaharu serta membuka aib mengungkit kisah percintaan lalu.

"Memang saya terkejut apabila timbul gosip sebegini kerana wartawan itu tidak mendapat pengesahan cerita itu daripada mulut saya sendiri walhal saya boleh dihubungi bila-bila masa. Kalau ikutkan ada rakan yang menyarankan saya agar menyaman pihak terbabit namun jika boleh saya mahu menyelesaikannya secara baik.

"Saya memahami tugas wartawan yang sentiasa mencari berita tetapi jenis sebegini belum pernah saya jumpa tambahan pula saya juga mempunyai hubungan baik dengan editornya.

"Secara logiknya, mana mungkin sebagai seorang manusia waras, saya ingin membuat onar di tempat awam. Saya tidak meninggikan suara langsung inikan pula mengamuk.

"Sebenarnya hanya salah faham berlaku apabila staf di bahagian kaunter tersalah beg tetapi telah diselesaikan secara baik," katanya mengulas mengenai cerita di ruangan hiburan sebuah akhbar tempatan yang diterbitkan pada Selasa lalu.