Awie dakwa rumah bekas isteri 'berpuaka'

Penyanyi kumpulan Wings, Awie memberi alasan dia tidak menjenguk dua anaknya yang di bawah jagaan bekas isteri, Rozana Misbun, 38, kerana menganggap rumah bekas isterinya itu di Ukay Perdana, Hulu Klang sebagai ‘berpuaka’.



Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie Che Saupi Che Husin dalam perbicaraan kes nafkah anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.



Sambil diperhatikan peguamnya, Mohd. Syafiq Norizan, Awie kelihatan tenang ketika menjawab soalan peguam yang mewakili Rozana, Mohd.Nor Apandi Dahari mengapa Awie tidak cuba menjenguk anaknya

Menurut Awie, beliau tidak dapat menjenguk anaknya kerana tidak pasti lokasi mereka dan percaya Rozana telah membawa kedua-dua anaknya itu tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci.

Awie turut memaklumkan, dia tidak pernah mengunjungi rumah yang dihuni oleh Rozana sebelum ini kerana beranggapan rumah tersebut ‘berpuaka’ ekoran tidak seorangpun ahli keluarga bekas isterinya itu yang menyukai beliau.