"Tak perlu mohon maaf, saya yang kutip mereka"



Pemain dram kumpulan Search, Yazid Ahmad, 54, tetap dengan pendiriannya tidak akan membuat permohonan maaf terhadap anggota kumpulan Search yang lain berhubung isu pertikaian mengenai hal pembayaran Konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 30 Ogos nanti.

Dalam sidang media yang diadakan oleh Search semalam, anggota kumpulan berkenaan iaitu Amy, Nasir, Hamzah dan Din meminta agar Yazid menarik balik kenyataan beliau mengenai tuduhan pecah amanah yang dikatakan tidak berasas dalam tempoh 48 jam dan memohon maaf kepada individu yang beliau kaitkan dalam laporan tersebut.

"Saya rasa saya tidak perlu untuk meminta maaf kerana mereka telah memaki dan menipu saya. Malah saya rasa kecewa dan sedih kerana mereka menuduh saya memalukan Search.

"Saya tetap akan teruskan dengan laporan yang telah saya buat sebelum ni malah selepas sidang media ini saya akan buat satu lagi laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju namun buat masa ini saya tidak akan mendedahkan sebab saya buat laporan itu" katanya pada sidang media khas yang dibuat bagi menghuraikan kemelut isu tersebut, bertempat di Ampang Park, pada Khamis.

Turut hadir bersama pada majlis tersebut ialah peguam yang mewakili Yazid iaitu Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Dalam pada itu, Yazid turut meluahkan rasa kecewa dan menganggap ada antara anggota Search lain yang bertindak sebagai dalang tercetusnya konflik ini.

"Selepas 35 tahun dan saya sekarang jatuh sakit, mereka terus mengenepikan saya dan tidak pernah berbincang dengan saya mengenai konsert 35 Tahun itu. Saya masih hidup lagi tapi mereka layan saya macam saya dah mati.

"Saya dapat tahu MOU yang ditandatangani dengan Afjets pada mulanya dengan lima nama tetapi akhirnya ia telah ditukar kepada empat nama kerana ada pihak yang meminta nama saya dibuang dalam MOU itu. Individu itu berjanji dengan Afjets bahawa mereka akan berbincang dengan saya namun tiada langsung khabar berita daripada mereka.

"Hakikatnya saya adalah pengasas kumpulan itu malah saya yang kutip Amy, Kid, Din dan Nasir. Saya yang perjuangkan band ini. Search ni ibarat nyawa saya. Saya tak.pernah ada niat nak memalukan Search,"katanya.

Bagaimanapun Yazid mengakui dia telah menerima sebanyak RM10,000 daripada pihak Afjets pada Mac lalu.

"Saya ada menerima panggilan daripada Afjets pada bulan Mac lalu dan mereka meminta nombor akaun saya, kerana untuk memasukkan duit. Saya terkejut dan bersyukur, itu rezeki saya dan saya ingatkan itu adalah bayaran pertama. Rupanya itu bayaran kedua. Saya juga dapat tahu keempat anggota lain telah mendapat bayaran pertama sebanyak 30 peratus yang berjumlah RM75,000.

Terdahulu media melaporkan, Yazid telah membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju pada 4 Mei lalu dan mendakwa isteri Amy yang dikenali sebagai Norish menengkingnya apabila dia bertanyakan hal ehwal keewangan untuk pembabitannya dalam Konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu. Yazid juga mendakwa berlaku pecah amanah dalam kumpulan itu.