"Saya hanya pertahankan Search"



Isteri kepada Amy Search, Norhasniza Hassan mengakui tindakannya yang telah memarahi pemain drum kumpulan itu, Yazid baru-baru ini. Namun dia menjelaskan ianya berlaku kerana beliau ingin mempertahankan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kumpulan Search yang didakwa sebagai penipu.

“Siapa-siapa pun yang memburukkan keluarga saya terutamanya suami, saya akan mempertahankan maruah keluarga kami. Bukan sahaja dia memulakan pertengkaran tersebut malah dia menuduh suami saya penipu dan anggota Search yang lain sebagai pecah amanah”

“Saya tidak boleh tahan lagi dan bertindak memarahi dia semula kerana ingin memberi kesedaran kepada dia bahawa semua tuduhan tersebut adalah salah,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan Yazid sebelum ini yang ditengking akibat bertanya tentang bayaran.



Norhasniza atau lebih mesra dengan panggilan Nourish berkata, apa yang dituduh oleh Yazid adalah keterlaluan sehingga secara tidak langsung telah menyentuh maruah keluarganya. Apa lagi apabila Yazid mula melemparkan kata-kata kesat dan menuduh suaminya penipu dan ahli kumpulan Search pecah amanah.