Penganjur Konsert Search terkilan, bimbang tiket tak laku



Afjets Sdn Bhd yang merupakan penganjur konsert 35 Tahun Search, terkilan dengan kemelut yang melanda kumpulan Search mengenai pertikaian isu bayaran yang tercetus baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amrul Nizar Anuar, beliau tidak menyangka akan timbul konflik kalangan anggota Search sendiri sedangkan pihaknya telah membuat pelaburan yang besar untuk perlaksanaan konsert tersebut.

"Selaku penganjur kami berasa terkilan apabila isu ini timbul. Kami anjurkan konsert ini kerana kami memang peminat Search. Sedikit sebanyak ia mungkin akan menjejaskan jualan tiket konsert. Saya harap, kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu ini dengan baik," katanya ketika dihubungi wakil media, pada Rabu.

Mengulas mengenai dakwaan pemain drum kumpulan itu, Yazid Ahmad, yang mempertikaikan namanya digugurkan daripada konsert tersebut, Amrul berkata keputusan itu adalah kata sepakat daripada ahli kumpulan Search sendiri.

"Mengikut draf asal memorendum Perjanjian Persefahaman (MOU) berkaitan konsert berkenaan, kelima-lima nama ahli kumpulan tersebut ada dinyatakan dalam memorendum itu. Namun selepas Search memulangkan semula memorendum perjanjian akhir kepada kami, hanya ada empat nama sahaja dan Search menyatakan yang mereka mempunyai alasan terhadap penyingkiran nama Yazid. Walaubagaimanapun Afjets tidak mengetahui sebab sebenar perkara itu dan akur dengan keputusan Search," tuturnya.

Dalam pada itu, Amrul mengakui telah memberi bayaran pendahuluan berjumlah RM75,000 kepada kumpulan Search.

"Kami telah memberi cek sebanyak RM75,000 pada Disember tahun lalu sebagai bayaran pertama dan mereka juga berjanji akan mengagihkannya bersama Yazid.

"Namun ketika bertemu Yazid, beliau memberitahu yang beliau masih belum menerima apa-apa bayaran.

"Oleh kerana tidak mahu dia terus berasa terkilan, pada Mac lalu kami telah menyerahkan bayaran kedua yang mana kelima-lima anggota masing-masing mendapat sebanyak RM10,000," jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, pada 4 Mei lalu Yazid membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju mendakwa isteri Amy yang dikenali sebagai Norish menengkingnya apabila dia bertanyakan hal ehwal keewangan untuk pembabitannya dalam Konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu. Yazid juga mendakwa berlaku pecah amanah.

Manakala Search pula menerusi satu sidang media yang diadakan pada 11 Mei lalu menyangkal dakwaan Yazid sekaligus menyifatkan tuduhan itu tidak masuk akal. Mereka juga menggesa agar Yazid membuat permohonan maaf dan menarik semula laporan polis dalam masa 48 jam.

Sementara itu, Yazid menerusi sidang media yang diadakan pada 12 Mei bertegas tidak akan membuat permohonan maaf malah beliau memberitahu akan menambah satu lagi laporan polis.