Konsert 35 Tahun Search mungkin dibatalkan

Konsert 35 Tahun Search mungkin dibatalkan

Konsert Search 35 Tahun yang akan diadakan pada Ogos depan mungkin batal jika ahlinya masih bercakaran dan enggan menyelesaikan masalah dalam masa terdekat, kata penganjur.

Ketua pegawai eksekutif AF Jets Amrul Mizar berkata satu mesyuarat khas akan diadakan minggu depan dan akan mengumumkan keputusan penganjur dalam sidang akhbar.

“Bermula dengan bertukar tarikh beberapa kali, kemudian bertukar lokasi, sekarang masalah sebegini pula,” katanya.

“Pihak kami akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama ahli lembaga pengarah syarikat untuk membincangkan samada perlu terus menganjurkan konsert ini atau pun tidak.”



Amrul memberitahu Syarikat sewaan pesawat itu semakin tawar hati untuk meneruskan konsert kerana Search kini mengalami kontroversi sedangkan pihak syarikat sudah melaburkan jumlah wang yang banyak.

“Terus terang saya katakan saya semakin tawar hati untuk teruskan penganjuran konsert yang sepatutnya berlangsung pada Ogos depan.

“Kami sudah menghabiskan sebanyak RM125,000 untuk membayar deposit kepada anggota Search dan juga krew yang lain.

“Walau bagaimanapun keadaan semakin teruk apabila pertelagahan antara ahli kumpulan itu pula yang menjadi perhatian orang ketika ini, berbanding cerita konsert itu sendiri.

“Ini membuatkan pihak kami selaku penganjur merasa benar-benar terkilan dengan apa yang terjadi ketika ini,” kata Amrul lagi seperti dilaporkan.

Sebelum ini, Yazid yang merupakan pemain dram kumpulan itu mendakwa berlaku pecah amanah apabila tidak menerima bayaran daripada pendahuluan RM75,000 yang diberikan penganjur kepada Search.

Yazid telah membuat laporan polis pada 4 Mei lalu di balai polis Wangsa Maju. Walaupun ahli Search yang lain mengugut untuk saman beliau, namun dia tetap enggan tarik balik atau memohon maaf dengan dakwaannya itu.

Tuduh-menuduh dan saling menuding jari antara Yazid dan vokalisnya Amy semakin berpanjangan sehingga pengurus peribadi dan juga isteri Amy, Nourish turut terheret sama.