Ke kelab malam, merokok adalah hak peribadi - Dayana Roza



Baru saja reda isu dia kononnya mempertikaikan kredibiliti pendatang baharu Hafidz Roshdi dan menggelarkan sebagai ‘pelakon kayu’ kerana mutu lakonannya kurang memuaskan, baru-baru ini nama Dayana Roza dikaitkan dengan satu lagi isu panas.

Pelakon yang popular menerusi lakonannya dalam drama Asam Pedas Untuk Dia ini didakwa ada berkunjung ke sebuah kelab malam di ibu kota. Dayana dikatakan asyik menari dan merokok tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan.

Bagaimanapun, Dayana tidak cepat melatah kerana menganggap kontroversi sebagai sebagai lumrah dalam kehidupan sebagai anak seni justeru. Sebaliknya gadis berusia 25 tahun ini lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri kerana enggan memanjangkan hal tersebut.

"Mengenai perkara itu, lebih baik saya mendiamkan diri daripada terus memanjangkan isu tersebut kerana bimbang ianya akan menjejaskan kerja. Bagi saya, perkara tersebut adalah hak peribadi, apatah lagi ia berlaku di luar waktu bekerja.

"Saya berasa terkejut apabila diberitahu perihal itu. Namun, biarpun terkejut saya tidak ingin membesarkan cerita dan biarlah perkara tersebut berlalu begitu sahaja dan fokus kepada kerja.

"Maksud saya mengenai hak peribadi itu adalah apabila ada sesetengah perkara saya boleh kongsikan dengan peminat. Bagaimanapun, selebihnya dijadikan hak privasi terutama berkaitan soal cinta mahupun perkara peribadi," katanya.