Hati Anzalna semakin terbuka untuk berhijab lepas jual tudung



Aktres Anzalna Nasir, 28, mengakui hatinya semakin terbuka untuk berhijab selepas menceburi perniagaan tudung sejak beberapa bulan lalu.

Anzalna atau nama sebenarnya Anzalna Mohd Nasir, bekerjasama dengan jutawan kosmetik, Dato Aliff Syukri, tampil menerusi jenamanya sendiri, Anzel Scarf By Anzalna.

Menurut pelakon Memori Cinta Suraya ini, walaupun dia masih belum bertudung namun penglibatannya dalam perniagaan tersebut memberi kesempatan buat diri untuk bertudung satu hari nanti.

"Walaupun saya belum bertudung tapi apabila orang beli tudung saya, sekurang-kurangnya saya dapat juga pahala.

"Sebenarnya sejak menceburi perniagaan ini, semakin mengalakkan saya ke arah mahu bertudung. Tetapi saya tidak mahu lah pakai tudung hanya kerana pujian orang yang mengatakan saya pakai tudung nampak cantik apabila berhijab. Saya mahu saya pakai biar dengan rela hati.

"Sekarang pun saya sudah mula cuba-cuba pakai tudung. InsyaAllah semoga satu hari nanti saya memperoleh hidayah", dedahnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Inspirasi Raya 2016 Anzel Scarf By Anzalna & Abang Terlajak Laris (ATL), bertempat di hotel Royal Chulan Damansara, pada Khamis.

Anzalna juga berkata yang dia secara tidak langsung memberi ruang kepada pengikut dan peminatnya untuk berniaga.

"Saya jual tudung bukan semata-mata mahu mengaut keuntungan. Tetapi secara tidak langsung saya telah buka ruang kepada mereka yang mahu berniaga dan menjadi stokis saya.

"Tambahan dengan kolaborasi saya bersama Datuk Aliff Syukri, para stokis saya turut diberi latihan secara percuma dan eksklusif daripada beliau mengenai selok belok bagaimana mahu meningkatkan jualan,"tuturnya.

Menampilkan dua rekaan iaitu plain dan bercorak dengan perincian kristal sebanyak 75 rekaan, Anzel Scarf turut mempunyai tujuh master stokis di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

Berkongsi mengenai perkembangan kariernya, Anzalna mengakui rindu untuk kembali berlakon setelah dua bulan berehat kerana mendirikan rumah tangga.

"Seronok melayan suami dan menguruskan rumah tangga. Tapi dalam sama saya mahu kembali bekerja. Saya rindu nak berlakon.

"Memang ada banyak tawaran tetapi bila memandangkan Ramadhan yang akan tiba, saya terpaksa tolak. Sebolehnya saya tak mahu ambil apa-apa 'job' sepanjang bulan puasa ni.

"Selepas raya nanti baru saya kembali menjalani penggambaran. Tapi buat masa ini saya tidak boleh berkongsi lanjut mengenai drama tersebut kerana saya belum tandatangani kontrak dengan produksi berkenaan," katanya.