Bekas isteri Awie mengaku jumpa bomoh



Bekas isteri kepada penyanyi kumpulan rock Wings, Awie,Rozana Misbun mengaku di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan semalam bahawa dia pernah menggunakan khidmat pengamal perubatan wanita atau bomoh bernama Maksu semasa dia dan Awie masih tinggal bersama.

Bagaimanapun, Rozana, 38, menafikan dia dan Awie berjumpa Maksu kerana bekas suaminya itu telah menghidu perbuatannya melakukan perkara khurafat di rumah kelamin mereka selepas Awie menjumpai pelbagai barangan seperti tangkal serta botol kaca berisi rambut, darah dan paku.

Rozana memberitahu demikian selepas disoal balas peguam syarie, Mohd. Syafiq Norizan yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berhubung kes hada­nah (hak penjagaan anak) kekal tiga anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

“Saya bersama defendan (Awie) dan pembantunya ada berjumpa Maksu pada 2 Jun 2014. Saya dan Maksu memang saling mengenali sebelum perjumpaan itu lagi.

“Kadang-kadang saya berjumpa maksu untuk mandi bunga sebagai tujuan perubatan,” kata Rozana di hadapan Hakim Syarie Ibrahim Deris.