Awie akan berjuang dapatkan hak penjagaan anak



Awie akui dia merasa sunyi tanpa kehadiran cahaya mata di sisinya dan menjelaskan bahawa dia akan berusaha dan berjuang habis-habisan bagi mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anaknya yang tersayang.

“Sebagai bapa yang membesarkan anak-anak sejak mereka dilahirkan, sudah tentu saya merasa sedih apabila mereka tiada di sisi, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri. Buat masa ini saya hanya berhubung dengan mereka melalui telefon. Apabila saya mendengar suara Qasseh yang bercakap dengan saya sambil menangis, saya bagai dapat rasakan sesuatu yang dilalui mereka”

“Sudah tentu saya amat sedih dan merindui mereka sepenuh hati. Sejak kami tidak lagi bertemu, saya dah macam budak kecil apabila kerap menangis kerana teringatkan mereka,” katanya sambil menahan air mata.

Baru-baru ini mahkamah mengarahkan agar Awei membayar denda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas dakwaan mencederakan bekas isterinya dengan sengaja, dua tahun lalu, namun Awie berkata ia bukanlah kes berat.

“Untuk apa saya hendak melawan, sedangkan buktinya ada dalam rakaman CCTV? Apa pun saya lega apabila kes ini sudah selesai dan sekarang saya fokus untuk berjuang habis-habisan mendapatkan hak penjagaan anak saya,” tegasnya lagi.

Hasil perkahwinan Awie dengan Rozana Misbun,Awie dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha. Ketika ini, Rezzki dan Qasseh berada di bawah Rozana manakala Merrah pula dijaga Awie.

Selain tiga anak bersama Rozana, Awie juga mempunyai dua lagi cahaya mata hasil perkahwinannya dengan bekas isteri yang juga penyanyi, Arni Nazira Anuar yang kini dalam jagaan Awie.