Awi Rafael diseret kereta, kini stabil lepas pembedahan



Penyanyi yang berasal dari Singapura, Awi Rafael kini berada dalam keadaan stabil selepas mengalami kemalangan jalan raya sekitar jam 1 pagi kelmarin berdekatan kawasan perumahannya di Kota Damansara.

Memetik laporan media, menurut Bahagian Promosi Domestik Warner Music, Anne Mokhtar, motosikal yang ditunggang Awi telah dilanggar sebuah kereta ketika dia dalam perjalanan ke studio muzik.

"Insiden itu turut menyebabkan Awi diseret kereta berkenaan, menyebabkan kecederaan pada bahagian kakinya.

"Pemilik kereta tersebut bergegas membawanya ke hospital berdekatan. Dia dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan sekitar jam 3 pagi.

"Alhamdulillah keadaan kini Awi sudah okey dan menurut doktor, dia boleh keluar hospital sama ada hari ini atau esok," kata Anne.