Afjets disingkir, Search tetap akan teruskan konsert

Afjets disingkir, Search tetap akan teruskan konsert

Kumpulan rock lagenda tanah air, Search sebulat suara membuat keputusan membatalkan kontrak Memorandum of Understanding (MOU) dengan Afjets Sdn Bhd kerana pihak berkenaan gagal menjalankan tanggungjawab selaku penganjur Konsert Search 35 Tahun mematuhi MOU tersebut sekaligus dianggap tidak bersikap profesional.

Search melalui peguam Yusmadi Yusoff daripada Fahda Nur & Yusmadi telah menghantar notis pembatalan seperti yang dikehendaki oleh MOU pada 19 Mei 2016.

Semenjak MOU tersebut ditandatangani pada 25 Disember lalu, Search telah menunaikan segala tanggungjawab seperti yang tertulis di dalam MOU tersebut sehinggalah yang terakhir, Meet & Greet di Melaka pada 16 April 2016.

Selain itu, Search turut kesal dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Anwar yang telah menimbulkan salah faham dan mengelirukan termasuklah laporan media yang menyebut kemungkinan Konsert 35 Tahun Search akan dibatalkan disebabkan isu hubungan Search dengan Yazid. Sebaliknya kenyataan-kenyataan tersebut disifatkan sebagai satu helah Afjets untuk menutup kegagalan mereka yang selama ini gagal mematuhi tanggungjawab di bawah Memorandum of Understanding (MOU).



"Kami sebulat suara 'back of' dengan rasa kecewa kerana sudah masuk lima bulan tetapi tidak banyak yang dicapai malah setiap kali perbincangan dibuat sejak dari hari pertama tidak ada perkembangan yang berlaku termasuklah dari segi keputusan pentas dan lain-lain.

"Pihak berkenaan tidak bersikap profesional apabila melibatkan isu konflik antara kami dengan Yazit.Kenyataan daripada CEO syarikat tersebut banyak menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Sepatutnya sebagai penganjur, pihak berkenaan perlu mengawal seandainya terdapat salah faham dan memastikan konsert ini berjalan lancar. Bukannya bersikap seperti "menambah minyak ke dalam api" dengan kenyataan-kenyataan mengelirukan dan menyebabkan fitnah kepada pihak Search terutama kenyataan Search sengaja menyingkirkan Yazit daripada terlibat dalam konsert tersebut. Padahal semua itu tidak benar,"kata Amy Search, pada sidang media khas penjelasan Search terhadap isu konsert tersebut, bertempat di Sri Hartamas, pada petang tadi.

Mengikut MOU tersebut, Afjets dan Search sepatutnya menubuhkan satu syarikat kerjasama (JV Co) atas nama AFJS yang mana sehingga hari ini tidak dibuat oleh Afjets walaupun hanya tinggal kurang daripada tiga bulan bagi menguruskan kolaborasi Konsert 35 Tahun Search.

Kegagalan Afjets mengendalikan hal ehwal pengurusan dan kewangan konsert tersebut juga telah menyebabkan salah faham di antara Search dan Yazit sehingga menyebabkan satu laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.

Amy bagaimanapun berkata mereka tetap akan meneruskan konsert sempena sambutan ulangtahun 35 tahun mereka bertapak dalam industri seni tanah air.

"Show must go on. Konsert ini harus direalisasikan kerana mungkin ini konsert kami yang terakhir. Sama ada ia akan diadakan pada tarikh yang sama atau tidak, kita tidak tahu lagi.

"Kami membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu bekerjasama menaja konsert kami dan kita akan mulakan semuanya daripada awal semula.

"Bagi peminat yang sudah membeli tiket, kami minta maaf dan itu adalah tanggungjawab sepenuhnya Afjets,"katanya.

Selepas keputusan yang dibuat Search itu, pihak Afjets ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai pembatalan MOU tersebut.